Monday, May 24, 2010

mad for diana :)


out of boredom, i went through i-never-knew-they-exist folders and files in the lappy.the browsing led me to find this word file,a love story that never fail to make me smile *senyum sampai nampak gigi geraham*
..................................................................................

Malam itu, aku mengambil peluang menyiapkan kerja kimia yang dah seminggu tertunggak. Orang cakap, kalau ada masa, jangan disia-siakan. Masa tu berharga. Argh…aku faham kepentingannya. Nafsu…

Telefonku,  Nokia 6610i kuletak di depan. Binaan intelektual, bisikku. Fokusku beralih seketika. Tanganku pantas mengambilnya. Skrinnya tampak kelam tanpa nyalaan  lampunya. Tersenyum ku sendiri. Fikiranku ku biarkan menerjah ke alam fantasi seketika. Bukuku ku biar dimain angin kipas yang berputar malas di paksi normal kepalaku. 

Diana.

Indah. Cukup indah nama itu. Terlintas di kepala, bagaimana kau boleh mengenali tuan empunya nama ini. Diana… Di mana agaknya? Bila? Kugaru kepala yang tidak gatal, mengimbau kembali kisah-kisah yang sudah lama terlipat dalam memoriku. Diana. Mulutku terus mengucap nama itu, seakan-akan sukar untuk kurungkai ikatan kusut otak yang berserabut. Nadiku tanpa rasa penat, terus menerus membekalkan oksigen ke otak. Argh… di mana ya…? 

Kem Bahasa. Mengapa mindaku mengarahkan ke situ? Oh, ya! Di situ, rasanya. Ya, memang di situ. Ku pasti. Tapi, bagaimana? Ku terus membuka satu persatu lipatan-lipatan memori. Kumpulan… Ya! Aku sekumpulan dengan dia dahulu. Patut pun…Hm… Seingat aku, aku tak pernah bercakap dengan insan pemalu ni. Eh.. 

Ada. masa tu kami tengah bincang pasal cerita yang bakal kami persembahkan. ‘mencari tuhan hujan di marikh’. Haha… Tajuknya pun dah pelik. Kesempatan itu aku gunakan untuk berkenalan dengannya dengan lebih dekat. 

Diana. Sememangnya dia budak pemalu. Terasa satu perasaan yang tenang bilamana aku bersua dengannya. Entah. Aku sendiri tidak faham bagaimana keadaannya. Pertama kali memandang, jantungku boleh gugur. Nadi bergetar pantas, peluh jantan memercik membasahi tapak tangan. Ego dan kelakianku benar-benar tercabar. Mataku berusaha melihatnya pada ketika fokusnya tidak pada perbincangan kumpulan. Tenang. Itu yang dapat aku baca dari riak mukanya. Hatiku meronta-ronta ingin menghulurkan salam perkenalan padanya. Tapi, siapalah aku pada pandangannya. 

‘Hang nak cari awek sini ke, Mad?’ soal Robert kepadaku. Kepekatan loghat Kepala Batas jelas dalam tuturkatanya. Masa itu, ahli kumpulanku sibuk berbual-bual tentang cerita yang bakal kami pentaskan. Aku tersenyum. ‘Aku dah agak dah,’ ujarnya sebelum aku mampu menjawab persoalan yang dilemparkannya tadi. Aku terus menguntumkan senyuman. Aku tertawa kecil. 

‘Jangan nak memandai nak buat cerita la Bert,’ jawapku sambil melirik mataku ke arah Diana. ‘Aku datang ke sini untuk belajar,’ balasku ringkas. Robert mencebik bibir, menafikan kenyataanku.

Habih, semalam?
Semalam?
Ya. Semalam. Sewaktu kita mendaki bukit untuk ke rumah api.
Kenapa?
Hihi… Aku lihat hang dan Diana macam rapat je.
Semalam aku jalan dengan kau la.
Ha… Dah pandai berdalih dah hang ni…

Robert tersenyum melihat aku terkial-kial mencari idea. Aku memandangnya sambil tersenyum. Kemudian, kami ketawa, tanpa mempedulikan orang di sekeliling yang memandang kehairanan. 

‘Mad!’ 

Telefonku terlepas dari genggaman. Aku tersentak. Seraya itu, ketawa menyelubungi alam. ‘Sialan kau, Boh,’ sumpahku sambil mengutip telefon. Deria lihatku pantas meneliti keadaan telefonku. Ah, tercalar sedikit di bahagian belakangnya. Boh masih menahan perut, ketawa.

‘Oooh… Dah pandai bermenung sekarang,’ perli Boh, memegang bahuku. Aku yang masih kegeraman akhirnya tersenyum. ‘Ye la… Semalam dapat panggilan dari awek. Memang patut pun tersenyum sendirian. Eh, kau dah siapkan soalan…’ Boh terus bercakap tapi aku terus melayang, melayang menjelajah dunia imaginasi yang tiada penghujungnya. 

Semalam. Ya. Aku merima panggilan dari seorang insan yang aku sendiri tidak terduga. Diana. Panggilan dari Diana. Aku di surau masa itu. Menunaikan kewajipanku sebagai seorang muslim. Tatkala aku duduk sambil memerhatikan suasana surau yang sunyi, telefonku berdering. Terpapar di skrinnya nombor yang tidak kukenali. Nombor talian tetap. 

Tanpa membuang masa, aku menekan punat hijau di hujung pad kekunci telefon. Telingaku menangkap suara seorang perempuan di hujung talian. Cukup jelas. Suara yang aku cukup kenali, suara yang cukup aku rindui. Entah, aku sendiri tidak memahami sebab untuk aku merindui suara itu. Gelombang bunyi yang terhasil dari corong pembesar suara telefon hampir menghentikan denyutan jantungku. Aku seakan keputusan idea untuk memulakan bicara. ‘Hello,’ sapa suara itu lembut. 

Hello
Assalamualaikum
Waalaikumussalam
Mad, ingat lagi tak suara ini?
Soalan itu membuatkanku bisu seribu bahasa. Tidak mungkin. Diana? Ahh.. Aku mesti sedang bermimpi.
Ini Dianalah Mad. Ingat lagi tak?

Aku terdiam. Diana? 
Lima minit aku luangkan berbual dengannya. Aku betul-betul tidak percaya apa yang telah berlaku tadi. 

Sungguh. Namun, tanpa aku sedari, hatiku mula melonjak kegembiraan. Kegirangan tergambar di wajah. Aku sendiri tidak memahami keadaan yang aku sedang alami. Kerinduan mula bercambah selari dengan peredaran masa. Aku mula akui yang aku kembali merindui insan ini. Merindui ketenangan dan keramahannya. 

Memoriku mula berputar ligat, mengembalikan kenanganku bersamanya. Kenangan di Kem Kepimpinan yang aku hadiri tahun lepas. Kenangan kedua aku bersua dengan insan ini. Pertemuan yang tidak dijangka. Namun aku seperti dapat merasai kehadirannya di situ. 

Pandanganku singgah pada seorang insan yang aku cukup kenali. Jaraknya dari tempat aku duduk kukira hanya semeter. Aku tersenyum. Perlahan, dia menoleh ke arahku. Seakan dipanggil. Aku menyimpulkan senyum. Dari kaca mataku, aku dapat melihat dia membalas dengan satu senyuman manis. Aku tertunduk. Malu. Huh… Diana… 

Lima hari di kem seolah-olah tidak mencukupi bagiku menikmati keindahan hiasan dunia ciptaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Lagipun, aku tidak sekumpulan dengannya. Jauh. Jarak kembali memisahkan kami. Argh… Diana. Aku mesti bersua denganmu. 

Tidak banyak yang mampu aku ceritakan kenanganku di kem ini.aku berjauhan dengannya. Cuma satu. Semasa majlis penutupan kami. Ya, kukira, masa inilah yang paling sesuai untukku mencari peluang bertemu dengannya. Aku tidak peduli. Aku akan lakukannya. Pen dari Sarawak itu aku letak di dalam beg. Sempatkah aku memberinya nanti? Apa pandangan orang nanti?Pelbagai persoalan muncul di kotak pemikiranku. 

‘Er, Diana. Nah.’ Seperti orang bodoh, aku menghulurkan pen itu kepadanya. Diana seperti tegamam menyambutnya. Aku terlupa yang aku berada di majlis yang besar. Aku tertunduk lagi. Argh, malunya! 

Dengan pantas, aku melangkah pergi dari tempat aku tepaku. Mukaku merah. Terasa tidak tertanggung malu yang baru sahaja aku tempah. Hatiku berdegup pantas bagaikan ingin terkeluar dari dadaku. Tapi, aku puas. Puas. Aku sudah berjaya betemu dengannya. Bertemu dengan Diana. Biarlah… Biarlah aku malu. Asalkan hajat hatiku kesampaian. Huh… Alhamdulillah. 

‘Mad!’
Aku kenal suara itu. Tak kan..
‘Mad. Terima kasih tau. Aku akan simpan pen ini baik-baik. Nah.’
‘Woi, Mad!!! Aku tanya kau ni…!!!’ 

Boh memandangku dengan muka kemerahan. Marah. ‘Kau dah siap ke buat soalan tadi?’ sambungnya. Aku terpinga-pinga. Rupa-rupanya, aku belum menjawap soalan yang Boh ajukan tadi. Aku memandang ke arah Boh. Bibirku mula mengukir senyuman. Aku tertawa. Boh hanya membatu di sisiku. 

Aku minta maap, Boh. Aku tengah kusyuk tadi.
Argh, macam-macamlah alasan  kau. Cepat, tolong la aku jawab soalan ni.
Ok, ok. Aku tengah mencuba la ni. Macam ni… 
‘BEEP BEEP!!!’ 

Telefon bimbitku menyala, menandakan ada panggilan masuk. Perkataan ‘Diana’ terpapar jelas di skrin telefon. Aku menoleh ke arah  Boh. Sambil menunjukkan isyarat senyap, aku mencapai telefonku lalu berlalu meninggalkan Boh yang tercegat memandangku. Terdiam. Digapainya kerusiku lalu duduk seraya mencebikkan bibirnya. Aku hanya mampu tersenyum. 

‘TEET!!!’

Hello… 
..................................................................................

i pray hard for a happy and blessed life together,for mad and diana.
AMIN.

2 comments:

  1. hehe.. nice! lame da x baca post ni. lame nk siapkan ni. huhuhu..

    ReplyDelete
  2. yup,very nice!kisah yg bermula 6 tahun lepas,sampai skrg baca pun penuh emosi.hehe..

    ReplyDelete